Selepas Hazama dan Azlan, giliran Akim pula mencari protoge untuk program realiti Mentor Milenia yang bakal bersiaran di TV3 bermula 3 Januari ini, jam 9 malam.
Sesi uji bakat Mentor Milenia di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam kelmarin menyaksikan lebih 160 anak muda berusia 17 hingga 21 tahun mencuba nasib mereka.
Semestinya setiap mentor mempunyai kriteria masing-masing dalam mencari anak didik. Akim mendambakan protege yang memiliki vokal mantap, penampilan menarik serta memiliki kekuatan fizikal dan mental.
“Sudah tentu vokal menjadi keutamaan, namun saya mencari yang ada karakter tersendiri.
“Paling penting, peserta mampu berdepan tekanan dan cabaran yang bakal dihadapi nanti,” katanya.
Menurutnya, meskipun majoriti peserta tidak memenuhi semua kriteria yang dicari, ada yang menarik perhatiannya.
“Ada peserta datang dari jauh dan saya amat menghargai usaha mereka. Namun, saya ingin tegaskan keputusan menolak peserta yang tidak layak bukan bermaksud saya kejam.
“Harap mereka faham saya ingin mencari protege yang memenuhi semua kriteria,” katanya.
Kali pertama menggalas tugas sebagai tenaga pengajar, Akim mengakui tanggungjawab itu sangat berat.
“Ramai tidak faham tugas ini sebenarnya berat. Selain mengajar menyanyi, saya juga perlu memastikan protoge tampil dengan persembahan terbaik,” katanya.
Pada masa sama Akim menyedari ada pihak menganggap dia belum layak menjadi mentor kerana masih muda.
“Saya tidak kisah dengan tanggapan itu. Apa yang penting saya boleh berkongsi pengalaman dan ilmu dengan anak didik saya.
“Lagipun peluang sebegini bukan datang selalu malah program ini sangat bagus kerana dapat mencari pelapis baru dalam industri muzik tanah air,” katanya.
Sabtu ini giliran penyanyi terkenal, Black mengadakan sesi uji bakat mencari protoge di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.
Bagi Black, vokal menjadi pilihan utama dan peserta perlu bersedia dalam semua aspek terutama lagu.
Paras rupa bukan kriteria yang dicari penyanyi itu, namun peserta perlu pandai bergaya.
Mentor Milenia yang memperkenalkan konsep baru tidak akan mempunyai panel juri dan persembahan protoge berdasarkan undian penonton di studio sebanyak 30 peratus manakala 70 peratus lagi menerusi laman web rasmi program itu.
-Metro