Quantcast
Channel: OMG! – Perak Today
Viewing all articles
Browse latest Browse all 5557

Kamal bukan berlagak ‘hero’

$
0
0
kamal02_1462655087

Pelakon Kamal Adli, 30, bersama beberapa selebriti tanah air yang prihatin secara berani membidas netizen yang memberi komen negatif terhadap foto dimuat naik pelakon Hafidz Roshdi, 22, bersama isterinya.

Kamal mengakui tidak berniat mahu berlagak ‘hero’ di laman sosial tetapi berbuat demikian kerana terlalu geram tatkala membaca komen ditulis.

“Kalau ikutkan, saya tak kenal pun siapa dia pelakon Hafidz Roshdi itu kerana setakat ini kami belum pernah bekerjasama dalam mana-mana drama.

“Bahkan, saya tahu mengenai berita perkahwinan dia (Hafidz) pun melalui blog di laman sosial. Cuma, saya sangat terkejut apabila membaca komen ditulis netizen pada foto dimuat naik Hafidz bersama isterinya,” katanya.

Bagi Kamal, komen negatif yang lebih ke arah menghina fizikal seseorang itu sangat keterlaluan dan ia perkara yang tidak wajar dilakukan oleh orang berakal.

“Jika dinilai pada sudut akal yang positif, mana ada manusia yang sempurna termasuk diri sendiri. Jadi, janganlah sesuka hati menghina orang lain walau pun dalam laman sosial,” katanya.

Hafidz yang juga pelakon drama Aku Pilih Kamu baru bergelar suami selepas menikahi wanita pilihannya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 22, pada 30 April lalu.

Pun begitu, ketika pelakon meningkat naik itu di ambang bahagia melayari bahtera rumah tangga, dirinya dikecam hebat oleh netizen yang mungkin kurang berpuas hati apabila dia berkahwin pada usia muda.

Lalu, foto dimuat naik Hafidz bersama isteri di laman sosial Instagram (IG) miliknya lebih banyak mendapat komen berbaur negatif yang tak sepatutnya.

Bagi Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 30, tindakan Hafidz menamatkan zaman bujang lebih awal disebabkan seruan jodohnya sudah sampai.

Katanya, siapa pun wanita dipilihnya adalah hak mutlak pelakon terbabit.

“Pada saya, kalau betul orang yang menulis komen itu peminat Hafidz yang menyokong bakat dan karier seninya, tidak patut dia menulis komen tidak baik.

“Menghina fizikal orang lain sewenang-wenangnya tanpa melihat apakah diri sendiri sudah cukup sempurna, memang tidak wajar. Saya akui simpati kepada Hafidz dan isteri,” katanya.

Menganggap apa yang ditulis pada komennya tidak keterlaluan, Kamal berkata dia sangat kesal apabila ada pihak menyalahgunakan kemudahan laman sosial.

Katanya, kemudahan laman sosial ada baik dan kontra kepada golongan selebriti sepertinya. Terutama apabila perlu berhadapan dengan kelompok netizen yang bertindak sebagai ‘haters’ (pembenci).

Dia berharap wira-wira papan kekunci janganlah gemar bertindak keterlaluan.

“Gunakan kemudahan laman sosial secara berhemah dan jangan jadikan ia tempat menghina orang lain. Daripada menghina adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan individu itu.

“Apatah lagi foto membabitkan pasangan suami isteri yang sudah halal hukumnya di sisi agama. Sekurang-kurangnya, pada saya mereka melakukan perkara terbaik iaitu bernikah,” katanya.

Apapun, Kamal berkata tindakan dilakukannya bersama beberapa selebriti lain yang bersifat ‘membela’ foto Hafidz bersama isterinya bukan berniat menarik perhatian media.

Katanya, dia sekadar melihat kepada tanggungjawab sebagai seorang insan bergelar manusia. Baginya, tindakan menghina fizikal seseorang adalah salah.

Kamal tak pilih stesen TV

Kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbarunya, Assalammualaikum Cinta arahan Michael Ang yang akan disiarkan di Astro pada Ramadan ini, Kamal bergandingan buat kali keempat di sisi teman istimewanya, Emma Maembong.

Melakonkan watak utama sebagai Azrif, Kamal akui tidak kisah asyik disogok dengan watak sama sebagai lelaki periang dan sentiasa gembira.

“Saya tidak terlalu memilih watak kerana apa yang diutamakan keselesaan dan kesesuaian. Lagi pun, saya suka dengan watak Azrif yang bersahaja. Seorang lelaki periang dan suka mengacau orang.

“Dalam realiti pun, memang pembawaan diri dan karakter saya tidak banyak beza. Jadi, mudah bagi saya melakonkan watak Azrif ini dengan cara sendiri.

“Apa yang saya harapkan, semoga penonton terhibur menyaksikan drama Assalammualaikum Cinta nanti,” katanya.

Turut membintangi Assalammualaikum Cinta ialah Ayda Jebat, Saharul Ridzwan, Ku Faridah dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Azrif dan Rykal memulakan misi mereka untuk memikat gadis bernama Emma dan Nia yang dikenali dengan tidak sengaja. Kemuncak misi mereka adalah, mana-mana gadis yang akan sebut perkataan ‘I Love You’ dulu kepada mereka, dia yang akan menang pertaruhan itu.

Bagi Emma, sejak dulu lagi dia anti dengan lelaki kaya kerana berfikiran mereka suka berlagak dan menggunakan kekayaan untuk mempermainkan perasaan perempuan.

Perkenalan tidak sengaja dengan Azrif Iqbal membawanya ke dalam mimpi ngeri. Dia tidak suka dengan sikap lelaki itu yang suka memaksanya menjadi kawan.

Mula dikenali menerusi drama aksi Bio-Nik pada 2009, Kamal akhir-akhir ini dilihat kerap muncul dalam drama untuk Astro.

Antara drama lakonannya yang akan disiarkan di Astro ialah telefilem istimewa Karya 12, Rong Ples Rong Taim arahan Yusry Abdul Halim, Sha & Shah Raya dan Oh My English! (OME).

Kata Kamal, dia sama sekali tidak bersikap memilih stesen TV.

“Siapa saya untuk bersikap memilih dengan stesen TV. Saya tidak berhak. Cuma, tak dinafikan memang kini kebanyakan drama yang saya bintangi disiarkan di Astro.

“Bukan stesen TV lain tidak memilih saya, tetapi sayangnya persetujuan sudah saya berikan kepada pihak produksi yang memberi tawaran lebih awal.

“Bagi saya, jika ada kelapangan masa dan sesuai pula dengan watak takkan hendak menolak. Pada saya, rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari,” katanya.

-Harian Metro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 5557

Trending Articles