
KUALA LUMPUR: Marsha Milan Londoh, 30, berkongsi detik indah majlis pernikahan dan persandingannya bersama peminat menerusi video muzik Sudah Ku Temui yang dilancarkan di laman sosial YouTube, semalam.
Lagu terbabit dicipta khas oleh artis wanita itu untuk Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, 29, yang sah bergelar suaminya pada hujung tahun lalu.
Marsha berkata, lagu berkenaan menterjemahkan perasaannya selama 10 tahun terhadap suaminya dan ia dihasilkan dengan kerjasama komposer terkenal, Tam Spider.
“Lagu ini saya cipta sejak 2013 ketika mula-mula bercinta dengan suami. Pada mulanya ia sekadar coretan idea untuk simpanan peribadi. Lagu itu umpama luahan hati kecil saya mengenai sebuah penantian yang disambut dengan penuh kesyukuran setelah bertemu insan tersayang.
“Ia adalah hadiah saya buat suami tercinta dan dinyanyikan khas buat beliau buat julung kali pada majlis resepsi kami di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, Januari lalu.
“Apa yang menarik mengenai video muzik ini, ia turut menyelitkan detik indah sekitar majlis pernikahan dan resepsi untuk dikongsikan bersama peminat saya,” katanya kepada BH Online.
Pasangan ini mula berkenalan sejak 2005 dan hubungan mereka mula serius kira-kira tiga tahun lalu. Mereka selamat diijabkabulkan pada 31 Disember 2015 di rumah keluarga Shaiful di Pulau Pinang.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Marsha memilih untuk fokus kepada bidang nyanyian dan pengacaraan selepas mendirikan rumah tangga.
Wanita kelahiran Sabah itu membuat keputusan untuk memperlahankan langkahnya sebagai pelakon dan lebih meneliti naskhah yang ditawarkan kepadanya dalam bidang berkenaan.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139135
-Berita harian